Thursday, May 29, 2008

SUATU PERSOALAN


Kita biasa mengdengar, menonton cerita 'TUAH'... JEBAT menderhaka... memang telah di tanam dalam setiap pemikiran 'JEBAT' menderhaka... walaupun ada sesetengah pandangan mengatakan mmg patut JEBAT menderhaka.. JEBAT menderhaka kerana TUAH .... benar???


Dalam Hikayat Hang Tuah, sahabat yang menderhaka ialah Hang Jebat. Akan tetapi dalam Sejarah Melayu, cerita sebenarnya ialah Hang Kasturi.

Benarkah kata-kata ini? Siapa yang boleh membuktikan ia?????

Kita cari kebenarannya......

Datu Mat Salleh

Mat Salleh, merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam penentangan yang hebat terhadap penjajahan British di Sabah. Beliau pernah mengisytiharkan daerah Tambunan sebagai daerah di bawah kekuasaannya.

Mat Salleh ialah anak kedua dalam sekeluarga empat adik-beradik daripada suku Suluk Paitan. Ibunya daripada suku Bajau. Abangnya bernama Ali, sedangkan adik-adiknya bernama Badin dan Bolong. Isteri Mat Salleh yang bernama Dayang Bandang berasal daripada keluarga Sultan Sulu dan berkampung di Pengalaban, Paitan.

Datu Mohammad Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjaan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894.

Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kampung Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896.

Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Syarikat Berpiagam Borneo Utara bermula pada bulan Julai 1897. Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama juga Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni di Ambong.

Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh. Seterusnya pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatan tentera yang lebih besar.

Mat Salleh terpaksa mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.

Kota utama Mat Salleh di Tambunan ini sangat sukar ditembusi. Kota ini diperbuat daripada batu-bata, kayu serta buluh tidak dapat ditembusi peluru. Setiap penjuru kota dikawal dan terdapat beberapa terowong atau jalan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan-bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh.

Tidak lama kemudian, pihak Kompeni menawarkan perdamaian dan Mat Salleh bersetuju, walaupun ditentang orang-orangnya. Tetapi pada 1899, Kompeni cuba mengambil alih Tambunan daripada Mat Salleh dan menyebabkan peperangan tercetus kembali.

Dan akhirnya pada 31 Januari 1900, kota Mat Salleh tumbang akibat serangan hebat Kompeni yang berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh. Dan peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.

Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperingati kota Mat Salleh itu. Di tugu peringatan itu, tertulis perkataan dalam bahasa Inggeris yang bererti, 'Tugu ini menandakan tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasukan Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbiran Chartered Company menemui ajalnya'.

Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi pada kaca mata rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.

Rentap

Seorang pahlawan Dayak (Iban) terkenal dalam sejarah Sarawak. Dia merupakan salah seorang pemimpin penentang kepada pemerintahan Raja Putih Brooke.

Pada tahun 1853 Rentap telah mengetuai pasukan orang Iban yang menyerang pasukan British di Sarawak yang diketuai oleh William Brereton. Rentap adalah seorang panglima perang orang Iban yang tinggal di ulu Sungai Sekrang. Rentap yang menjadi ketua orang Iban telah menentang pemerintahan Brooke kerana Brooke merancang membanteras amalan kutipan cukai oleh ketua-ketua tempatan yang dianggap lanun olehnya, sedangkan ia merupakan sumber pendapatan tradisi ketua-ketua tempatan.

Brooke turut juga mengganggu cara hidup tradisional orang Iban yang mengamalkan 'kegiatan memotong kepala' dengan beberapa pembaharuan. Justeru itu pada tahun 1853, Rentap bersama pasukannya menyerang kubu-kubu di Sungai Skrang. Pihak British telah diserang hendap oleh orang-orang Rentap. Berlakulah pertempuran yang sengit di antara kedua-dua pihak. akibat pertempuran itu seorang menantu Rentap bernama Layang telah membunuh Alan Lee dengan lembingnya. Rentap dengan segera membawa pasukannya pulang ke ulu Sungai Sekrang.

Dalam pertempuran itu pihak British berundur ke pangkalan Merak dan ini menyebabkan Rentap semakin dihormati oleh pengikutnya. Walau bagaimanapun pengikut Brooke telah membinasa dan membakar 20 buah rumah panjang tempat kediaman Rentap. Dengan itu Rentap terpaksa berundur dan membina tempat kediaman di sungai Lang iaitu di ulu Sungai Skrang. Namun angkatan Brooke berjaya menyerang rumah panjang Rentap dan ia dengan sebilangan pengikut berundur dan membina kubu di sebuah bukit bernama Bukit Sadok. Mulai dari tahun 1875, kerajaan Brooke telah membuat tiga percubaan untuk menangkap Rentap. Namun pada tahun 1861 barulah mereka berjaya menguasai Bukit Sadok setelah membawa beberapa buah meriam.

Kubu-kubu dan rumah-rumah tempat kediaman Rentap dan orang-orangnya habis dibakar oleh kerajaan Brooke pada 20 oktober 1861. Rentap kemudian berundur ke Ulu Entabai. Kemudian Rentap dan pengikutnya berpindah ke Bukit Sibau iaitu kawasan yang terletak di Ulu Wak, Pakan. Beberapa tahun kemudian, Rentap meninggal dunia di situ. Sehingga ke hari ini makam pahlawan Rentap telah di baik pulih oleh kerajaan negeri Sarawak bagi mengenang jasanya.